Skip to main content

MBSA Tukar Imej Lorong Belakang Sebagai Laman Seni (Grafiti @ Seksyen 7)


Suka nak kongsi artikel tentang idea MBSA menukar imej lorong belakang sebagai Laman Seni - boleh buat carian imej di internet, sudah ramai yang bawa keluarga ke kawasan belakang kedai Seksyen 7 Shah Alam ini untuk bergambar bersama pelbagai grafiti yang ala ala 3D pun ada. Sebab saya belum berkesempatan ke sana jadi nak kongsi saja lah cerita ni dulu. Korang yang dah pergi bolehlah kongsi kat ruangan Comment blog ni ok. 
IMG_0387

Di Selangor, Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) tampil dengan cara tersendiri untuk memartabat seni grafiti dan mural dengan menukar imej lorong belakang sebagai Laman Seni.
Ia kelak menjadi lokasi tumpuan penggiat seni mengadakan persembahan santai dan program kesenian, selain memberi ruang kepada pelajar memperaga hasil kerja seni, sekaligus menjadi mercu tanda baru negeri ini.
Mengikut perancangan, laman seni itu akan dibuka untuk aktiviti muzik jalanan (basking) sekali gus menghidupkan suasana malap di kawasan itu.
IMG_0478
Ia dijangka membawa suasana Eropah yang kerap menjadikan lorong belakang premis dan rumah sebagai kawasan santai untuk bertemu sesama jiran pada waktu senggang sambil menikmati keenakan kopi.
Mengikut Datuk Bandar Shah Alam, Datuk Mohd Jaafar Mohd Atan, Laman Seni itu akan ditambah beberapa kemudahan seperti bumbung dan petak berniaga bagi memastikan kawasan itu dapat digunakan tanpa mengira keadaan dan cuaca.
MBSA juga mahu melaksanakan projek sama di Seksyen 7 Shah Alam bagi menceriakan kawasan berkenaan kerana ramai pelajar institusi pengajian tinggi mendiami sekitar kawasan itu.
Pihak berkuasa tempatan (PBT) lain wajar mencontohi langkah MBSA yang memberi ruang kepada generasi muda menunjukkan kreativiti sekaligus memperindah kawasan.
Mungkin dalam usaha memperindah Sungai Klang sebagai tarikan baru pelancongan, usaha perlu dimulakan dengan menggalakkan aktiviti grafiti dan mural di tebing sungai.
Ia pasti menjadi nilai tambah produk pelancongan Sungai Klang apabila pelancong dapat menikmati keindahan Sungai Klang persis menyusuri sungai di bandar raya Eropah.
aIMG_0198Projek lukisan mural di bangunan lama sepanjang Sungai Melaka juga boleh dijadikan contoh bagaimana ia menjadi tarikan baru di kawasan berkenaan.
Hampir semua bangunan dihiasi lukisan mural yang menggambarkan sejarah awal Melaka, kegemilangan Kesultanan Melaka termasuk kepahlawanan Hang Tuah, Hang Jebat, Puteri Hang Li Po dan Laksamana Cheng Ho.
Selain itu, banyak lukisan mural pada deretan bangunan lama yang dilukis di bangunan sejarah di Melaka seperti Kota A’Famosa dan Stadhuys.
Di ibu negara, antara dekorasi yang menarik menghiasi Kuala Lumpur suatu ketika dahulu ialah lukisan mural yang menghiasi tembok Penjara Pudu.
Penumpang bas menuju Puduraya pasti melewati karya seni bertema pemandangan hutan tropika dan jika bernasib baik, kelihatan banduan ‘bekerja’ menyiapkan lukisan itu.
IMG_0125
Idea lukisan itu datangnya dari dramatis terkenal tanah air, Abu Bakar Juah yang bertugas sebagai pegawai penjara mulai 1975 hingga 1986, apabila mengusulkan supaya Rock Garden dibina sepanjang tembok luar penjara berkenaan.
Bagi mencantikkan lagi tembok yang kosong, idea melukis kemudian dilontarkan rakan setugas Abu Bakar, Mohd Rashidi Samsuddin.
Mulai 1983, seorang banduan, Khong Yen Chong ditugaskan melukis mural dengan dibantu beberapa banduan lain. Menariknya, tempoh pembebasan Khong Yen Chong tiba sebelum sempat lukisan disiapkan.
Namun, atas rasa tanggungjawab, beliau kembali ke penjara untuk menghabiskan lukisan mural berkenaan tetapi bukan sebagai seorang banduan tetapi sebagai seorang rakyat yang insaf dan bebas.
Pada 1984, lukisan tembok penjara itu dicatat dalam Guiness Book of World Records sebagai lukisan mural terpanjang di dunia, dengan ukuran 860 kaki panjang dan ketinggian 14 kaki.
Khong Yen Chong dan rakan-rakannya menyiapkan lukisan itu dalam tempoh 17 bulan menggunakan kira-kira 2,000 liter cat.
Sumber : http://bm.selangorku.com/40930/kreativiti-grafiti-mural-mercu-tanda-baru-selangor

Comments